KUALA LUMPUR: Pulau Pinang mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport utama bagi perdagangan Malaysia untuk November 2023 dengan menyumbang sebanyak 29.0 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ini diikuti oleh masing-masing Johor (22.6 peratus), Selangor (16.9 peratus), Sarawak (8.3 peratus) dan Kuala Lumpur (5.7 peratus).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah eksport Pulau Pinang bagi tempoh itu bagaimanapun susut sebanyak RM5.4 bilion.

Negeri lain dengan eksport lebih rendah adalah Selangor (-RM2.4 bilion), Sarawak (-RM1.6 bilion), Terengganu (-RM869.1 juta), Melaka (-RM755.1 juta), Labuan (-RM704.8 juta), Pahang (-RM308.0 juta), Negeri Sembilan (-RM164.2 juta), Perlis (-RM29.9 juta) dan Kuala Lumpur (RM9.9 juta).

"Prestasi eksport sebaliknya meningkat di Johor yang berjumlah RM3.0 bilion manakala Kedah (RM929.2 juta), Perak (RM540.8 juta), Sabah (RM472.3 juta) dan Kelantan (RM18.6 juta)," katanya.

Dalam kenyataan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Bagi November 2023, Malaysia mencatat jumlah perdagangan bernilai RM231.8 bilion pada November 2023 dengan nilai eksport dan import masing-masing sebanyak RM122.1 bilion dan RM109.7 bilion.

Prestasi eksport negara susut sebanyak 5.9 peratus kepada RM7.6 bilion berbanding tempoh sama pada 2022.

Dalam pada itu, menyentuh prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir berkata import bagi November 2023 meningkat sebanyak 1.7 peratus kepada RM1.8 bilion berbanding tempoh sama pada 2022.

Peningkatan itu, katanya, disumbangkan oleh import lebih tinggi di Kuala Lumpur (RM2.7 bilion), Negeri Sembilan (RM1.4 bilion), Pahang (RM1.1 bilion), Sabah (RM514.3 juta), Selangor (RM492.7 juta), Johor (RM197.1 juta), Melaka (RM114.4 juta) dan Terengganu (RM109.4 juta).

"Bagaimanapun, import sebaliknya turun di Pulau Pinang sebanyak RM3.9 bilion, Labuan (-RM280.2 juta), Kedah (-RM78.8 juta), Sarawak (-RM60.9 juta), Kelantan (-RM43.0 juta), Perak (-RM15.9 juta) dan Perlis (-RM6.2 juta)," katanya.

Selangor juga terus mendominasi import Malaysia dengan menyumbang sebanyak 26.5 peratus dan seterusnya Johor (20.6 peratus), Pulau Pinang (20.4 peratus), Kuala Lumpur (9.4 peratus) serta Kedah (5.6 peratus), kata beliau.

-- BERNAMA